AddThis

Friday, June 25, 2010

Lima pelajar MTD ditahan bantu siasatan kematian pelajar 16 tahun

KUALA LUMPUR: Lima pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (MTD) ditahan polis bagi membantu siasatan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dipercayai dibuli dan didera di maktab itu Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat berkata, kelima-lima pelajar yang berumur 17 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Provost Marshal dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan di hantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira jam 6.30 petang semalam.
"Kami akan siasat sama ada mereka terbabit ataupun tidak dalam kes itu dan tempoh penahanan reman terhadap pelajar berkenaan belum ditentukan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Abdul Samah berkata, polis tidak menolak kemungkinan punca kematian Mohammad Naim Mustaqim adalah disebabkan buli.

"Lihat daripada segi luaran anggota badan mangsa tidak terdapat sebarang luka...bagaimanapun kita akan tunggu keputusan bedah siasat daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk tindakan susulan," katanya.

Kenyataan Kementerian Pertahanan menyebut suatu kejadian yang membabitkan kematian pelajar itu berlaku antara 11.30 pagi, Rabu lalu sehingga 1.20 pagi semalam.

Mohammad Naim Mustaqim didapati tidak sedarkan diri dan dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba di situ.

Abdul Samah berkata, dalam tahun ini kejadian sedemikian pertama kali berlaku namun terdapat laporan pergaduhan yang membabitkan institut pengajian tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini.

Bagaimanapun tiada laporan diterima oleh polis daripada keluarga mangsa yang berasal dari Baling.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment